Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka
pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah,
baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di
antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah :
“Wahai
manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun
ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah
ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
“Wahai
manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai
suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang
berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti
kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan
Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba
dibatalkan mulai sekarang.”
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu
dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.”
“Wahai manusia
sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai
hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas
kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana
kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan
berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah
teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”
“Wahai manusia,
dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah,
dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan
tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji
sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang
lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.”
“Ingatlah,
bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh
itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.”
“Wahai manusia, tidak ada lagi
Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama
baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh
dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”
“Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang
terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar